@ pesanan buat umat manusia

Thursday, August 20, 2009

Penyimpan Mohor2 Besaq...Yang Besaq2 Kepala dgn ini mengisyhtiharkan bahawa PUBLIC HOLIDAYS untuk semua ... untuk Sebulan (No Overtime!! and No Replacement!!! ). Maka Dgn ini ingin diberikan sedikit Pesanan kepada MANUSIA :

- Kalau dok beratur panjang di Kedai Mamak di waktu puncak -Bukan yang suruh!!


- Kalau ada Runner dok tolong beli Bekalan - Dia takdak kena mengena dgn !!!


- Kalau tak reti2 nak buat amal ibadat - Bukan yang dok bagi hampa MALAS tau!!
- Kalau dok pakai terdedah sana-sini - Bukan yang suruh dan bukan yang suruh tengok..!!


- Kalau dok pi berkepit sana-sini dgn marka siang malam - Bukan yang bagi line!!


- Kalau dok Boros sangat shopping Raya - Bukan yang suruh!!


- Kalau dok tak habis2 mengata orang - Bukan yang bagi idea!!


- Kalau tak habis2 dok berdengki kat orang - Memang bukan yang dok cucuk!!


Maka MANUSIA, ambillah peluang ini untuk UPGRADE kan Diri anda, KENALI lah Diri Anda, BERBUAT BAIK lah dan SUCI kanlah Diri Anda.
Kumpulkanlah Pahala sebanyak mungkin..........Renungkanlah..Adakah masa ini yang paling sesuai untuk BERUBAH atau Anda masih Menunggu!!!!...Tunggu Sapa lagi....

Jangan lupa Bayar Zakat Fitrah tau!!!.....Ada juga yg dok merungut Zakat mahal .....Ini pun takdak kena mengena dgn tau!!..

Tolonglah Manusia ooiii.......Kalau Semua dah Beriman dan ikut Jalan yang Benar...kami punya kerja pun kurangla sikit....Kamipun dah letih Overtime....

cid:2.1160396388@web45314.mail.sp1.yahoo.com

Akhir Kata

SELAMAT BERPUASA Dan BERIBADAT (We Will be Back to Office after Ramadhan ....he..he)

@ kelebihan Ramadhan al-Mubarak

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya( Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik, Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam) .-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri( bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5.. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

@ doa Jibrail menjelang Ramadhan

Sunday, August 16, 2009
Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.

=> Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengaja , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh keberkatan

@ kaya hati

Barangsiapa memudahkan kesukaran seseorang, Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat" (HR. Muslim).

Tidak mudah merasakan bagaimana sesungguhnya hidup susah, kecuali oleh orang-orang yang sedang mengalami kesusahan hidup. Seperti halnya perasaan saudara-saudara kita yang sedang hidup di rumah-rumah setinggan atau kem-kem pelarian sementara yang kemudahannya serba kekurangan. Dengan demikian, hanya orang orang tertentu yang mampu merasakan perasaan susahnya orang lain, terutama orang-orang yang tergolong sebagai kaya hati.

Bahkan dalam suatu hadits, Rasulullah SAW mengatakan bahwa kekayaan yang sesungguhnya ialah kaya hati. Hal ini memang sangat kuat alasannya. Orang yang kaya hati, meskipun tidak kaya harta, akan tetap berusaha untuk menunjukkan keperihatinannya terhadap orang lain. Sebaliknya, orang yang kaya harta, namun tidak kaya hati, tidak akan mudah perihatin terhadap nasib orang lain, terutama orang orang yang hidup dalam kesusahan.

Sebagaimana dikatakan dalam hadits di atas, orang yang kaya hati sehingga mahu membantu meringankan beban orang susah akan mendapatkan sekurang-kurang dua kemudahan. Pertama, kemudahan hidup sewaktu di dunia. Ada saja pertolongan yang diperolehnya, meskipun bukan melalui orang yang pernah dibantunya. Allah mengirim bantuan melalui tangan hamba hambaNya yang lain. Kedua, pahala yang akan membantunya sewaktu ditimbang amalnya di hari akhirat kelak.

Oleh itu perbanyakkan berdoa kepada Allah supaya kita dimasukkan ke dalam golongan yang kaya hatinya. Jangan sampai kita menjadi orang yang mati sebelum dimatikan oleh Allah SWT iaitu orang yang mati hatinya.

@ sifat sabar

Tuesday, July 21, 2009
Nasihat yang ingin saya sampaikan ini merupakan satu sifat, di mana dengan sifat itu Allah akan mencintai orang yang memilikinya, sentiasa bersama orang itu dari sudut pengawasan dan hidayah, diberikan pahala dengan jumlah yang tidak terkira, dikurniakan tiga perkara serentak iaitu selawat, rahmat serta petunjuk dan akhirnya memasuki syurga dengan dialu-alukan oleh para malaikat dengan ucapan salam.

Sifat yang saya maksudkan ialah sabar. Berkenaan sifat ini Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: “Allah sentiasa Mencintai orang-orang yang sabar” (surah Ali Imran, ayat 146), “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” (surah al-Baqarah, ayat 153) dan “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira” (surah az-Zumar, ayat 10).

Seterusnya Allah juga berfirman: “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya.” (surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Pengurniaan tiga perkara, iaitu selawat, rahmat dan petunjuk secara serentak menyebabkan orang-orang shalih dari generasi awal umat Islam ternanti-nanti dan merasa terhibur apabila mereka menerima sesuatu yang memerlukan kesabaran. Mereka berkata: “Kenapa aku tidak bersabar padahal Allah telah berjanji akan memberikan tiga perkara kepadaku dan salah satu dari tiga perkara itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya?”

Akhir sekali orang yang bersabar akan dimasukkan ke syurga dan di dalamnya: “Malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata): ‘Selamat sejahteralah kamu, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (surah al-Ra’d, ayat 23-24)

Maksud Sabar dan Jenis-Jenisnya.

Sebegitu besar keutamaan bagi orang yang memiliki sifat sabar, sudah tentu kita tertanya-tanya apakah maksud sabar. Mudahnya, sabar dari sudut bahasa bermaksud menahan. Ada pun dari sudut istilah, ia bermaksud kekuatan jiwa untuk menahan dari berakhlak buruk apabila munculnya sesuatu.

Sabar memiliki beberapa jenis. Jenis pertama adalah dari sudut perintah larangan agama. Kita dituntut untuk sabar dalam melaksanakan perintah agama seperti menuntut ilmu, berbuat baik kepada ibubapa, mendirikan solat, mengerjakan puasa dan sebagainya. Orang yang sabar tidak akan mengeluh apabila dituntut melaksanakan perintah agama. Sabar juga dituntut dalam rangka menjauhi larangan agama seperti mengharapkan pertolongan dari tangkal, mendekati ilmu sihir, mengambil harta yang bukan haknya, berzina, mencuri, berdusta dan seterusnya. Seorang penyabar akan menjauhi semua itu tanpa dalih yang pelbagai.

Jenis kedua adalah dari sudut suka dan duka. Kita hendaklah sabar dalam menerima sesuatu yang disukainya, baik ia merupakan kecemerlangan dalam pelajaran, kejayaan dalam kerjaya, kelebihan rezeki atau kebahagiaan hidup. Kesabaran akan mengarah kepada sifat bersyukur dan ingin berkongsi dengan orang lain apa yang Allah kurniakan, sebagaimana firman Allah: “Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu.” (surah al-Qasas, ayat 77)

Agaknya yang paling sukar ialah sabar dalam menerima sesuatu yang mendukacitakan, baik ia merupakan kematian orang yang disayangi, penyakit, kehilangan harta benda atau kesukaran dalam kehidupan. Kesabaran amat penting agar sifat tabah, mencari penyelesaian dan menenangkan diri dapat dilakukan tanpa keluhan, rungutan, teriakan dan apa-apa lain yang sinonim dengan akhlak yang buruk.

Tidak termasuk dalam maksud dan jenis sabar ialah orang yang mendiamkan diri apabila dia melihat agama, manusia dan dirinya dizalimi. Sifat diam seperti ini lebih tepat disebut sebagai dayus dan bukannya kesabaran. Kesabaran adalah tetap bertindak menentang kezaliman, hanya tindakan itu dilakukan dengan akhlak yang mulia.

Meraih Sifat Sabar.

Di antara surah al-Qur’an yang terawal diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. ialah surah al-Muddathir dan ayat yang ketujuh surah itu berbunyi: “Dan bagi Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar.” Ini menunjukkan bahawa sifat sabar adalah antara yang terawal dan terpenting yang dituntut oleh Islam ke atas kita.

Akan tetapi sabar bukanlah satu sifat yang dapat bermastautin secara tetap dalam diri seseorang. Ia adalah sifat yang boleh wujud dan hilang, boleh tinggi dan rendah, boleh berlaku kepada sebahagian jenis kesabaran dan tidak berlaku kepada sebahagian jenis yang lain.

Maka bagi meraih sifat sabar, seseorang hendaklah sentiasa prihatin akan keadaan dirinya dan sering menasihati dirinya untuk bersabar. Dihargai juga apabila ahli keluarga dan rakan-rakan saling menasihati untuk bersabar dengan mengingatkan kembali ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan keutamaan-keutamaan sabar. Tidak ketinggalan ialah memohon pertolongan Allah agar mengurniakan sifat sabar kepada diri kita kerana Allah jua telah berfirman: “Dan bersabarlah dan tiadalah kamu dapat bersabar melainkan dengan (pertolongan) Allah.” (surah al-Nahl 16:127).

=> originated from hafizfirdaus

@ kekayaan bukan penentu kebahagiaan

Sunday, June 21, 2009
Rumah tangga bahagia boleh dibina dengan sifat sentiasa bersyukur

APABILA berkata mengenai bahagia, sudah pasti semua mengimpikannya. Kebahagiaan adalah perasaan yang sangat sukar diungkapkan dan bersifat subjektif. Bahagia selalunya dicapai apabila seseorang itu merasa kepuasan, gembira, kecukupan serta penuh kesyukuran dan keredaan.

Kebahagiaan adalah milik semua. Bahagia tidak hanya dimiliki mereka yang kaya raya dan berharta kerana boleh saja mereka yang kaya raya berasa tidak bahagia serta runsing memikirkan keselamatan hartanya yang bertimbun.

Tidak kurang juga dengan keadaan manusia yang hari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahupun suami. Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.

Bahagia juga belum tentu dapat dicapai dengan memiliki sebuah kediaman mewah dan indah. Rumah besar itu boleh menjadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat seekor burung terkurung dalam sangkar emas.

Bahagia juga belum tentu dimiliki dengan memiliki pasangan suami atau isteri yang tampan dan cantik rupawan kerana ketampanan serta kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu.

Antara faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kenikmatan hidup, sekali gus berasa bahagia adalah faktor kesihatan, kecukupan makanan, kasih sayang serta suasana persekitaran. Namun, cukupkah dengan itu saja?

Kebahagiaan belum tentu dapat dicapai hanya dengan berbekalkan harta melimpah ruah, kerja yang lumayan hasilnya, kediaman mewah, serta rupa fizikal yang menawan semata-mata. . Bagaimanakah hakikat bahagia yang menjadi idaman manusia?

Jika kembali kepada agama, kebahagiaan itu dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip agama bagi setiap urusan dilakukan dalam kehidupan mereka. Apabila meletakkan prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka mengutamakan Allah.

Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan dan dengannya mereka bersikap qana'ah atau sentiasa berasa cukup serta berpuas hati.

Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa di antara kamu yang berasa aman dirinya, sihat tubuhnya dan cukup persediaan makanan rutinnya pada hari itu, seakan-akan dia sudah diberi semua kenikmatan dunia." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga turut menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta menimbun, tetapi ia dicapai dengan kayanya hati. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang yang kaya hatinya, dia sentiasa memiliki sifat qana'ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia sentiasa reda dan berasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan, tidak rakus mengejar dunia serta tidak pula meminta-minta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Benar-benar beruntung orang yang memeluk Islam, mereka diberi kecukupan rezeki dan qana'ah di dalam menerima apa juga pemberian Allah terhadapnya. " (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW berpesan supaya sentiasa melihat siapa yang berada di bawah kita dan mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa kita miliki, bukannya dengan melihat kekayaan dimiliki orang yang mewah berbanding diri kita.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau tidak meremehkan nikmat Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Rasulullah SAW itu bertujuan mengajak kita sentiasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil yang diusahakan serta diperoleh, sekali gus menjauhkan diri daripada berasa kurang bernasib baik dan bersikap tamak.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik merujuk kepada kehidupan berkeluarga, iaitu dengan memiliki isteri yang baik, anak dan keperluan berkaitan dengannya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita (isteri), anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Dengan itu, bagi sesebuah keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memahami dalam setiap hal ehwal urusan kehidupan. Mereka saling mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang digariskan agama.

Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman, dan kehangatan cinta sesama mereka. Rumah tangga bahagia dibina atas landasan agama, akan membawa pasangan suami isteri berkekalan hingga ke syurga yang penuh kenikmatan.

Ia dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga sebagai medan meraih keredaan dan mengejar cinta Allah. Dalam persoalan ini, suami selaku ketua keluarga bertanggungjawab mengemudi keluarga dibinanya menuju kebahagiaan.

Ia dapat dicapai apabila suami sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik dan sentiasa berusaha membimbing ahlinya kepada perkara dicintai Allah.

Kefahaman agama yang teguh membolehkan keluarga mencapai kebahagiaan kerana berkongsi fokus yang sama, iaitu mencari keredaan Allah. Ia menjauhkan mereka daripada perkara negatif apabila hidup dipenuhi tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran serta kemesraan.

Antara faktor lain yang mendorong kebahagiaan bagi sesebuah kehidupan adalah seperti digambarkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, isteri salihah, rumah yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan selesa. Dan empat perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah isteri buruk akhlaknya, jiran tetangga jahat, kenderaan buruk serta rumah yang sempit." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dimaksudkan dengan isteri yang salihah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik, mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai seorang isteri.

Rumah yang luas adalah rumah sentiasa terisi dengan sifat qana'ah, aktiviti dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria serta kemudahan yang baik. Kenderaan yang selesa penting bagi tujuan kelancaran pengangkutan dan hal ehwal urusan serta tugas seharian.

Jiran tetangga yang baik merujuk kepada soal pergaulan dan kehidupan bermasyarakat di atas etika syariat yang betul. Dengan itu, apa yang sebaliknya adalah merujuk kepada unsur yang mampu mendatangkan keburukan, sekali gus jauh daripada nilai sebuah kebahagiaan.

Sebenar-benar kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredaan Allah, sekali gus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat. Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik." (Surah ar-Ra'd, ayat 29)

@ hebatnya ahli syurga

Wednesday, April 22, 2009
Hadis :
Dari Abu Hurairah r.a:"Rasulullah SAW bersabda:"Golongan yang pertama sekali masuk syurga wajahnya adalah seperti bulan purnama. Dan orang yang masuk sesudah itu seperti bintang yang sangat terang cahayanya. Hati mereka sebagai hati satu orang (bersatu) tidak pernah berselisih dan benci-membenci antara sesama mereka. Tiap-tiap seorang di antara mereka mempunyai dua orang isteri. Masing-masing di antara kedua isteri itu tampak sumsum betisnya dari belakang dagingnya kerana sangat indahnya." (Bukhari)

Huraian :
Kita sekarang dihidupkan oleh Allah di muka bumi dan selepas itu kita akan dikembalikan ke salah satu daripada dua negeri yang kekal abadi iaitu syurga atau neraka. Allah sudah menyatakan di dalam Al-Quran, tentang betapa nikmatnya kehidupan dan pengalaman manis di syurga. Begitu juga dijelaskan betapa azabnya kehidupan dan pengalaman ngeri di neraka. Sebagai makhluk yang diberikan kesempurnaan akal fikiran, manusia boleh berfikir kesan dan risiko yang bakal diterima akibat dari sesuatu tindakannya kerana setiap sesuatu itu ada sebab-musababnya. Allah masukkan seseorang ke syurga kerana dalam hidupnya di dunia ini, dia memilih jalan ke syurga. Begitu juga Allah masukkan seseorang itu ke neraka kerana dalam hidupnya dia sengaja memilih jalan ke neraka. Maka terpulang kepada kita hendak mengikuti jejak ke syurga atau jejak ke neraka